# STREAMING ISLAMIC PERTAMA DIDUNIA? (NURFLIX.TV)

- Link: https://punyoolab.com/2021/02/12/nurflixtv/
- Published: 2021-02-12T08:11:29+08:00
- Author: Izzpunyoo

Sebagai usaha memperkasakan pembangunan ekonomi dan sahsiah diri, penstriman televisyen
dalam talian, Nurflix.TV diperkenalkan bagi menawarkan kandungan digital baharu,
segar dan selamat ditonton oleh semua golongan masyarakat berlandaskan adab serta
akhlak Islam.

“Alhamdulillah, idea yang diperoleh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu
disambut baik, malah disokong oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid,” katanya yang
ditemui pada majlis sidang media, The Nurflix Initiative di Masjid Diraja Tengku
Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Selangor, di sini, semalam.

Bagi mencapai matlamat, platform yang dibangunkan oleh Sutera Hijau Ventures Berhad
itu menggunakan khidmat kerjasama dua hala antara golongan ulama dan karyawan industri
kreatif bagi menghasilkan kandungan yang menghiburkan mengikut landasan Islam.

Antaranya, Eman Manan, Erra Fazira, Mawi, Altimet, Yasin Sulaiman, Adam Corrie, 
Mira Filzah, Wany Hasrita dan Diana Amir.

“Saya bersyukur artis undangan tidak mengambil masa yang panjang untuk memberikan
jawapan, semuanya pantas mengatakan persetujuan apabila diajak bekerjasama.

“Mereka terbabit dalam 12 naskhah yang akan ditayangkan bermula Oktober ini. Sebenarnya,
perlantikan mereka bertujuan untuk menarik penonton melayari Nurflix.TV.

“Sememangnya, pelanggan Nurflix.TV terdiri daripada individu yang mahukan kandungan
beradab, tetapi apabila adanya nama besar, ia dapat menarik pengikut untuk melanggan.
Daripada usaha menyokong selebriti kesayangan, pada masa sama, peminat menyokong
sistem kami,” katanya yang mensasarkan satu juta tontonan hingga akhir Januari, 
tahun depan.

Ekoran itu, kata Syah, Nurflix.TV menitik berat kualiti produksi dan nilai kreativiti
dalam kandungan yang akan dipaparkan di platform berkenaan.

“Biarpun, ia adalah kisah Islamik, apa yang penting adalah kualiti kerana dengan
ia akan menarik perhatian pelanggan.

“Disebabkan itu, Nurflix.TV memiliki panel penasihat kandungan yang akan memastikan
setiap kandungan ditawarkan menampilkan kelainan atau subjek yang cukup unik,” katanya
kepada BH Online.

Dengan mengetengahkan kandungan selamat ditonton semua kelompok masyarakat, Nurflix.
TV dijadualkan akan memulakan siaran secara percubaan sepanjang tempoh tiga bulan
iaitu dari Oktober hingga Disember depan.

Dalam tempoh itu, Nurflix.TV akan memperkenalkan 12 tajuk membabitkan pelbagai kategori
termasuk drama dan filem yang dibintangi barisan pelakon popular. Ia akan ditayangkan
secara percuma menerusi episod pertama sebelum dilancarkan secara rasmi pada Januari,
tahun depan.

Sementara itu, Syah yang juga anggota kumpulan The Brothers berkata, idea asal mewujudkan
Nurflix.TV sebenarnya adalah untuk mewujudkan ekosistem yang dapat memberi manfaat
kepada pengguna dan penyedia kandungan.

“Bayangkan, jika ada sejuta pelanggan, daripada bayaran langganan boleh disediakan
pelbagai kandungan dan pada masa sama, dapat mewujudkan peluang pekerjaan serta 
menjana pendapatan penggiat seni.

“Ekosistem dibentuk akan dapat membantu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan
buat tenaga kerja dan karyawan dalam sektor industri kreatif. Ia secara tidak langsung
dapat membantu menjana ekonomi negara,” katanya.

Oleh itu, Nurflix.TV mengalu-alukan kehadiran penerbit, pengarah, penulis skrip 
dan bakat baharu bagi merancakkan lagi platform berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi Nurflix TV, Datuk Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir,
Ketua Kandungan Nurflix TV, Farihin Fattah, Habib Ali Zaenal Abidin dan ramai penggiat
seni.

### Share this:

 * [  WhatsApp ](https://punyoolab.com/2021/02/12/nurflixtv/?share=jetpack-whatsapp)
 * [  Telegram ](https://punyoolab.com/2021/02/12/nurflixtv/?share=telegram)
 * [Tweet](https://twitter.com/share)

### Like this:

Like Loading…
